Rabu, 8 Jun 2011

قوتنا


Dalam satu kisah, ada seekor anak harimau yang telah terpisah daripada ibunya. Akhirnya anak harimau itu telah bertemu dengan sekawan kambing, dan akhirnya ikut bersama dengan anak-anak kambing itu. Ia telah membesar dalam kawanan kambing tersebut. Makan, minum dan bermain dengan anak-anak kambing.


Hari demi hari, bulan demi bulan. Sehingga ia terlupa siapakah ia sebenarnya. Pada satu hari, sekumpulan anak kambing telah berpakat untuk membuli anak harimau tersebut. Mereka mula mengejek-ejek anak harimau itu. Daripada ejeken, kini mereka menanduk-nanduk si anak harimau.

Oleh kerana tidak tertahan ditanduk di sana sini, anak harimau itu mula meminta tolong, dengan suara seekor kambing, "Embeeek...! Embeeeeek...!" Semakin ia meminta tolong, semakin galak anak-anak kambing menanduknya. Akhirnya, oleh sebab tidak tertahan lagi dek kesakitan yang ditanggungnya, tiba-tiba terkeluar suara asal seekor harimau, "Auummm...! Auuuumm...!"

Anak-anak kambing itu terkejut dan kebingungan, lalu terus bertemoiaran lari. Akhirnya, 'suara asal' seekor harimau telah terkeluar, dan terzahirlah kesan atau impak yang sungguh hebat!!Umat ini begitu juga. Kita telah terlalu leka, sehingga kita telah lupakan 'suara asal' kita! Kita lupa, sebagai umat Muhammad yang mempunyai kalimah laa ilaha illa Allah, kita ada suara yang tersendiri. Oleh sebab telah berkurun lamanya kita terkesan dengan suara orang lain, maka kita juga mula bersuara dengan suara orang lain. Kita hampir lupa secara total, bagaimanakah suara kita yang sebenar.

Kita di sini merujuk kepada umat secara amnya. Maknanya, kita secara umat telah terlupa bagaimanakah suara asal kita yang sebenarnya. Apabila kita telah hilang suara asal umat ini, maka segala kehebatan, ketinggian dan kemuliaan umat ini turut juga hilang samalah seperti cerita anak harimau tadi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...